Friday, 22 November 2013

SPM 2013



Alhamdulillah anak-anak murid saya telah selamat melalui peperiksaan spm bagi mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan. Matematik kertas 1 dan Matematik kertas 2 telah selesai pada 18 November 2013 , manakala Matematik Tambahan kertas 1 dan Matematik Tambahan kertas 2 juga telah selamat mereka lalui pada 21 November 2013. Tak tahu lah apa yang mereka tulis di ruang jawapan masing-masing. Saya hanya mampu berdoa agar kejayaan berpihak kepada mereka.

Walaubagaimanapun saya bersyukur kepada Allah SWT kerana saya telah berjaya menjalankan tugas saya sebagai guru sebaik mungkin. Di penghujung tahun ini saya ingin menikmati cuti yang sebenarnya setelah ber penat lelah bersama anak-anak murid yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini. Masih terasa penat mengajar dan membimbing mereka. Bermula dari Jun 2013 saya sering menghabiskan masa saya dari pagi hingga ke petang di sekolah bagi membimbing anak-anak murid saya bagi menyiapkan diri mereka untuk menghadapi peperiksaaan SPM. Pelbagai karenah mereka yang kadang-kadang membuatkan hati saya naik angin. Namun sebagai seorang guru, saya sedaya upaya bersabar  melayan karenah mereka.

Pada awal tahun 2013 anak-anak murid saya membuat saya jadi risau dan kadang-kadang kecewa. Sikap mereka yang tidak acuh dengan peperiksaan menjadikan saya amat bimbang. Pelbagai nasihat dan bimbingan yang saya dan rakan-rakan sekerja berikan kepada mereka bagi memberi kesedaran kepada mereka. Tuhan aje yang tahu betapa penat dan risaunya kami terhadap mereka. Anak-anak murid yang berlatar belakangkan anak-anak kampung, sosio ekonomi yang berbeza dan kisah hidup yang pelbagai, bukan mudah untuk membuka minda mereka. Alhamdulillah berkat usaha dan doa kami, mereka mula berubah di saat-saat akhir persekolahan. Kesedaran ini mungkin agak lambat, namun saya tetap bersyukur kerana diberi kesempatan mendidik mereka.

Alhamdulillah tanggungjawab saya kepada mereka telah selesai dan kini saya akan menerima calon SPM tahun 2014 pula. Moga-moga Allah permudahkan usaha saya. Amin....